Thursday, 5 April 2012

Bila Allah Sentuh Hati Dengan HidayahNya


Hidayah itu adalah milik Allah Yang Maha Kuasa. Hanya Dia yang mempunyai kuasa veto berhak memilih siapa sahaja hambaNya untuk diberikan hidayah, berjalan dijalan Islam yang sebenar. Bersyukurlah dengan sepenuh hati milikNya itu andai terasa diri sudah diberi hidayah dariNya. Tiada siapa yang dapat merasainya kecuali dirinya yang telah dipilih Allah itu. Subbhanallah, hebatnya Dia.
Allah, segala pujian hanya untukMu. Tidak puas memuji Dia. Syukur tidak terhingga. Alhamdulillah ya Allah. Andai aku antara orang yang telah dipilihNya, berilah aku kekuatan untuk meneruskan perjalanan ini. Pastinya pahit, namun kaki harus terus melangkah. Pujian hanya untukNya lagi, Tuhan Yang Maha Hebat. Melihat insan-insan sekeliling yang telah diketuk hatinya dengan hidayahMu. Allah..Allah..Allah.. Andai dulu dia seorang yang panas baran, sekarang seperti telah menjadi insan lain. andai dulu dia seorang yang tidak menjaga solat, sekarang menjadi gelisah jika terlewat melakukan solat. Andai dulu dia merempit, sekarang dia telah bergelar ustaz, memberi ceramah di masjid-masjid.. Subhanallah.. Hebatnya Allah... Hebat hidayahNya.. Hanya dengan setitis hidayah, mampu mengubah seseorang menjadi orang yang berbeza... *sebak*
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka; bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. 
(Surah al-Fatihah, Ayat 6-7).
Dalam diri setiap insan itu pasti ada terdetik niat ingin berubah. Ini kerana fitrah manusia adalah baik. Semua manusia inginkan kebaikan. Carilah hidayah Allah itu..

Benar, hidayah itu milik Allah, namun sebagai hamba kita tidak boleh hanya dengan menunggu hidayah itu datang. Usaha mencari hidayah itu perlu dilakukan!
Bagi yang telah diberi pertunjuk olehNya untuk berubah, teruskan istiQomah, insyaAllah Allah sentiasa bersama. Pahit dalam perjalanan adalah lumrah kerana mahar untuk ke syurga bukannya murah, ia perlukan mujahadah! dan mujahadah itu pahit, kerana syurga itu indah :) moga kita diberi tempat disana nanti, Ameen..
Usah merasa rebah andai ada yang cuba menjatuhkanmu. Itu mungkin salah satu ujian dari Allah. Ingatlah, orang beriman itu pasti akan sentiasa diuji imannya. Yakinlah akan janji Allah, kuatkan diri anda. Allah sentiasa bersama :)
Insan sekeliling, ibubapa, saudara mara, sahabat handai.. Andai ada insan di sekelilingmu yang telah kau sedari perubahan mereka, berilah sokongan. Jangan pula bekerjasama dengan syaitan laknatullah menjatuhkan mereka. Andai hati anda masih belum disentuh, berdoalah, letakkan sepenuh harapan kepada Allah, cari jalan untuk mendapat hidayahNya.

Perubahan bukan menyuruh kita berubah dengan mendadak, insyaAllah berubahlah sikit-sikit, dari sikit itulah ianya akan menjadi banyak. Mulalah dengan meninggalkan segala yang dilarang, melakukan segala yang dikehendaki, mendirikan solat lima waktu, bersedekah, membuat baik kepada yang muslim dan bukan muslim, menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan sering menghadiri majlis ilmu serta terus memohon doa kepada Allah agar diberikan hidayah, berdoa dan terus berdoa kepada Allah supaya diberi kekuatan untuk menepis segala hasutan syaitan dan godaannya.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka " 
QS 13:11
Marilah kita sama-sama berusaha untuk mencari hidayahNya, moga Allah merahmati kita semua, Ameen ya Rabb.
Wallahua'lam.

Bila Dilanda Tekanan dan Dukacita….


Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak akan dapat lari daripada bebanan dan ujian. Kerap kali kita dilanda ujian dengan rasa sedih dan dukacita, rasa lemah dan malas, rasa kedekut dan penakut, bebanan hutang dan tekanan daripada penindasan orang.
Siapakah yang akan bersedia menjadi 'teman' buat kita kongsikan dugaan dan ujian yang menguja empunya diri ini dari hari ke hari? Mungkin untuk tempoh yang panjang ?
Kesediaan manusia terbatas, kesabaran manusia terhad, kemurahan manusia bersempadan dan kita amat memerlukan bantuan yang berpanjangan serta mungkin di luar kemampuan manusia biasa.
Rasulullah saw mengajar kita agar sentiasa mendambakan diri hanya kepadaNya semata-mata. KepadaNya kita menghambakan diri dan kepadaNya jua kita memohon segala pertolongan.
"Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang."
Kisahnya,
Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Wahai Abu Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?" Jawab Abu Umamah: "Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!"
Jawab Rasulullah: "Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu." Abu Umamah menjawab: "Ya, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Apabila tiba waktu pada dan petang bacalah: اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن... (Doa di atas). Kata Abu Umamah: "Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku."(Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri).

Ada baiknya kita beramal dengan doa ini pada setiap pagi atau petang agar terbina keakraban hubungan dengan Allah swt. Doa ini adalah sebahabian daripada 'Al-Ma'thurat', yang bermaksud amalan wirid, zikir dan doa yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang diamalkan oleh Nabi SAW dan dikumpulkan oleh al-Imam al-Syahid Hassan Al-Banna untuk menjadi manusia soleh.
Tanpa hubungan yang akrab dengan Allah jiwa kita akan menjadi keluh kesah kerana tiada kedamaian. Benarlah kata-kata Syeikhul Islam dalam al-Kalimuttayyib: "Tanpa zikrullah secara istiqamah, diri itu umpama ikan yang tercampak keluar dari airnya."
Mari kita ingati akan janji Allah swt di dalam al Quran yang bermaksud,
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." ( Surah At-Talaq, 65: 2-3)
Selamat beramal....

Iman, Apa Khabar Kamu Hari Ini?


Tangan kanan itu kembali menyentuh dada. Lama. Mata dipejam kejap. Hati dan akal berbicara menukar tanda. Sepakat berkata bahawa, itu rasanya. Rasa. Ya, rasa itu kembali. Rasa itu datang lagi di sini. Rasa itu melabuhi hati. Rasa itu sepertinya- sakit! Sakit yang sungguh tak terperi.
Sepertinya sudah tidak dapat ditahan lagi. Hati sudah tewas dengan perasaan sendiri. Perlahan air jernih itu membasahi pipi. Juga hati dalam sunyi.
"Allah."
Susah payah dengan sendu mulut mengucapkan. Terketar-ketar bibir mengeluarkan. Semakin laju air jernih itu mengalir membasahkan.
"Allah."
Penuh kesakitan.
"Apa khilafku, Ya Allah. Apa salahku, Ya Allah. Apa yang telah aku lakukan mengundang murka-Mu, Ya Allah."
Tangan tetap pada dada. Degupan itu masih terasa. Degupan itu tiada tandingnya. Degupan itu laju bagai tiada penghalangnya. Degupan itu tidak mahu menurun tahap kelajuannya. Degupan itu seperti berkongsi rasa. Rasa yang menguasai semuanya.
Kenapa rasa itu kembali lagi di sini? Rasa saat si dia pergi, memang tidak dapat ditandingi. Rasa saat si dia seperti tidak mahu kembali, memang tidak dapat mungkin diterangkan untuk yang lain fahami. Rasa saat si dia berjalan meninggalkan hati, sakitnya itu bukan sahaja pada hati malah pada akal yang memerhati.

Perasaan sakit itu dikongsi dengan semua pancaindera dari hati.
"Allahu Rabbi, kemana si dia pergi? Di mana si dia harus ku cari? Di mana si dia dapat ku temui? Apa yang perlu aku lakukan untuk si dia kembali?"
Perlahan-lahan tangan diturunkan. Kaki juga dibetulkan silaan. Sejadah di bawah silaan dibetulkan kedudukan. Tangan kembali mengambil utas tasbih yang ditinggalkan atas Kitab Tuhan. Zikir Fatimah dibacakan dalam sendu tangisan. Berusaha untuk kembali menguatkan hati yang seperti tumbang atas kehilangan.
Si dia. Benar, tinggi nilainya si dia untuk aku. Besar wataknya untuk diriku. Tinggi nilainya padaku. Itulah dia, dia yang aku benar-benar mahu. Si dia yang benar-benar aku rindu.
Kehilangan si dia mula-mula seperti tiada rasa. Rasa biasa. Rasa yang ada di mana-mana. Setelah lama si dia tiada, baru kini aku perasaan perginya. Rasa air mata sudah tidak biasa mengalir takutkan Tuhannya. Rasa semakin banyak dosa yang dibuat walau tahu akibatnya. Rasa seperti sudah jauh jaraknya antara aku dengan Yang Maha Esa.

Sudah pelbagai cara diikhtiarkan. Sudah pelbagai bahan ilmu dibacakan. Sudah didengar alunan ayat-ayat kebesaran. Sampai seperti mana semasa si dia itu tiada, air jernih itu sudah berhenti membasahi mata. Dan kini sehingga air jernih itu kembali membasahi. Si dia tetap juga tidak mahu kembali. Apa khilafku kali ini?
Si dia itu, jika kembali lagi menghuni hati. Pasti aku janji untuk tidak mengabaikannya walau seinci. Pasti aku janji untuk tidak melupakannya walau sehari. Pasti aku janji tidak akan lalai untuk bertanya khabarnya dari hati.
Kini si dia telah selamat kembali.
Bibir kembali mengukir senyuman. Air jernih yang mengalir juga sudah dikeringkan. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan. Tangan kembali letaknya pada hati yang degupnya kembali seperti kebiasaan. Mata diturunkan penglihatan.
Dengan kepayahan bibir berbicara pada si dia yang kini sudah kembali,  "Iman, apa khabar kamu hari ini? Janji ya bahawa kamu tidak akan lari dariku lagi."
Dan ya, si dia itu iman. Iman yang dikurnia Ilahi untuk hati.

Secukup Sederhana


Tak perlu yang terlalu kuat agama
Cukuplah yang jaga agama
Pasti nanti agama kami terbela.
Tak perlu yang tahu Islam
Cukuplah yang mahu Islam
Pasti nanti kami menuju Islam.
Tak perlu setinggi-setinggi pelajaran
Cukuplah yang tinggi cara pemikiran
Pasti nanti usaha kami seiring kehidupan.
Tak perlu pencapaian
Cukuplah persepsi dan kematangan
Di situlah dia mengagumkan.
Tak perlu yang petah berhujah
Cukuplah yang mudah berbincang sama
Pasti nanti masalah kami terlerai jua.
Tak perlu harta kekayaan
Cukuplah kami tidak kelaparan
Pasti nanti kami selesa dengan kehidupan.
Tak perlu segak kacak bergaya
Cukuplah hatinya jadi rupa
Pasti nanti kami tak sengsara.

Tak perlu yang gigih bekerja
Cukuplah yang bertanggungjawab dengan dunianya
Untuk melengkapkan akhirat keluarganya.
Tak perlu sesempurna mana
Cukup sekadar lelaki biasa
Pasti masjid kami jadi luar biasa.
Bukankah rumah tangga itu lubuk pahala?
Dia yang bijak takkan sia-siakannya
Dia pasti tahu tindakannya
Untuk mencari keluarga bahagia
Hidup di dunia tenang selesa
Membawa kami ke syurga sana.

Pengorbanan Bukan Sekadar Cerita…


Bumi Tuhan ini luas dan insyaAllah ruang dakwah akan tetap terbuka. Dakwah ini bukannya kegiatan sampingan untuk satu kesukaan, atau mencari kekayaan tetapi adalah tanggungjawab dan amanah. Amanah yang menyebabkan pelaksananya berletihan kerananya.
Amanah yang akan menyebabkan terkorbannya kerehatan, harta, bahkan nyawa. Amanah yang akan mengheret insan ke lembah ujian. Namun ia juga amanah yang menyebab insan merasai nikmat kelazatan iman. Amanah yang menyebabkan insan yang melaksanakannya bebas dari ketakutan terhadap makhluk dan hanya takutkan Allah.
"mereka yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut kepadaNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah, dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala perbuatan makhluk)" (Surah al-Ahzab, ayat 39).
Setiap kali menjelang musim Aidil Adha, maka berceramahlah di sana-sini berbagai penceramah tentang pengorbanan. Berceritalah tentang Nabi Ibrahim a.s sebagai simbol insan yang berkorban. Pun kita tidak tahu, adakah penceramah yang berbicara tentang pengorbanan itu telah berkorban untuk agamanya, atau sekadar untuk poketnya?
Apakah ucapan itu lahir dari insan yang telah merasai jerit perit pengorbanan perjuangan, atau sekadar memenuhi jemputan sahaja. Maka jadilah ucapan-ucapan itu kontang dari segi ruhnya dan tandus dari segi realitinya.
Maaf, dalam banyak keadaan kita banyak penceramah atau yang disebut 'qussas' namun kita kurang pendakwah yang menjadikan agenda ummat itu sebahagian dari kehidupannya.
Qussas tidak mementingkan ketulenan fakta, sebaliknya yang dipentingkan 'orang suka dengar' sekalipun tiada terasnya.
Bak kata al-Syeikh Muhammad 'Ajjaj al-Khatib:
"Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan.
Peliknya, mendukacitakan mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian". (Muhammad 'Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr).
Adapun bagi pendakwah, masa depan Islam, penerimaan masyarakat terhadap Islam, kelangsungan mesej Islam dan pandangan baik manusia terhadap agama ini akan menjadi agenda penting dalam kehidupannya.
Bercerita tentang pengorbanan dan menghayati pengorbanan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk berbicara amatlah mudah, ramai penceramah boleh lakukannya.
Namun untuk menanggung dakwah dan segala tribulasinya amatlah sukar.

Nabi s.a.w dan para sahabah baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka terpaksa membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.
Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang. Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan RasulNya.
Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.
Mereka sebenarnya, menjual diri dan harta untuk mendapat ganjaran agung yang jauh lebih besar dari kehidupan dunia yang sementara. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga "Adn". itulah kemenangan yang besar (Surah al-Saff, ayat 10-12).
Namun sebagai insan, seteguh mana pun perasaan, sekental mana pun jiwa akan terselit juga kesedihan dan dukacita apabila ujian itu datang bertalu-talu. Apabila kebaikan dibalas dengan keburukan. Apabila keikhlasan dibalas dengan kesombongan dan hasad dengki.
Untuk itu, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempohi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (Wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras kepada dengan ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan mendustakan dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu". (Surah al-An'am, ayat 33-34).
Dengar mendengar cerita benar tentang pengorbanan dapatlah meredakan gelora perasaan para pejuang. Ya, mendengar cerita tidaklah dapat mengurang tekanan fizikal yang dihadapi, namun ia dapat mendamaikan perasaan.Dalam banyak keadaan keperitan itu datang dari dalaman jiwa melebihi apa yang berlaku di luar.
Maka al-Quran dan juga sunnah menghidang banyak kisah-kisah pengorbanan untuk menjadi bekalan pejuang dalam meneruskan agenda menyampai Islam ini.
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Bukanlah sukar untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak. Tetapi yang sukar itu ialah untuk bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.
Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan yang sebenar. Allah mahu Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itu kemuncak seorang nabi, itulah kemuncak seorang da'i dan itulah kemuncak seorang pejuang. Apabila kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung.
Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya.
Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.
Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya. Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.
Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.
Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.

Inilah Tuan Milik Tulang Rusuk Kiri Mu


etika aku masih lagi di bangku sekolah, melafazkan cinta itu merupakan perkara yang mudah. Bukan aku sahaja yang melakukan sebegitu tetapi ramai lagi kawan-kawan aku melafazakan cinta antara satu sama lain. Ketika itu mungkin rasa ingin tahu terhadap cinta itu sangat tinggi mengatasi rasa ingin tahu untuk membina cita yang lebih cerah pada masa akan datang. Itulah senario yang berlaku pada aku dan juga kawan-kawan. Mengapa begitu mudah cinta itu dilafazkan?
Setelah tamat alam persekolahan, masing-masing membawa haluan sendiri. Dan ternyata cinta selama ini yang mereka banggakan seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Tiada sebarang ikatan,tetapi sekadar saham dosa di akhirat kelak. Semasa di kolej matrikulasi aku pernah terdengar yang si lelaki merupakan pemilik tulang rusuk kiri si wanita. Apa kaitan antara lelaki dan wanita tersebut? Allah S.W.T memang menjadikan lelaki untuk melindungi si wanita dan wanita untuk membahagiakan si lelaki. Itu lumrah kehidupan yang perlu kita terima.
Terdapat satu hadis yang berbunyi:
"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." 
- Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Kadang kala terasa malu jika melihatkan diri yang kerdil lagi hina untuk dimiliki oleh seorang wanita yang solehah. Malu untuk mengaku bahawa itulah tulang rusuk kiri aku sendiri yang sekian lama terbenam dalam tubuhnya. Dengan adanya tulang rusuk tersebut, dia tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Bagaimana pula dengan aku? Persoalan yang sering timbul di dalam benak fikiran aku ialah sudah cukup bagus ke aku untuk memiliki wanita yang cukup sempurna imannya, manis rupa parasnya,sopan santunnya dan elok budi pekertinya?

Ada sesekali aku berfikir akan dosa dan noda yang telah aku lalui selama ini, layakkah aku untuk mengaku tulang rusuk itu milik aku? Belum cukup sedia aku rasakan. Banyak lagi perkara yang aku harus pelajari untuk menjadi lelaki sejati yang berpaksikan keimanan dalam kehidupan seharian. Sebagai suami dan bapa kelak, perkara-perkara yang berkaitan dengan iman,amal perlu dititik beratkan agar si wanita (isteri) berasa bangga bahawa tuan milik tulang rusuk kirinya selama ini merupakan seorang yang soleh dan taat kepada ajaran Allah S.W.T.
Bagaimana pula jika aku masih seperti dulu? Solat mudah ditinggal-tinggalkan, berhibur tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, puasa sentiasa ada cacat celanya, masjid, surau ibarat tempat yang asing bagi aku. Pasti kecewa wanita solehah itu, hancur hatinya. Aku dapat merasakan bahawa wanita itu mengimpikan seorang lelaki yang seagung Rasullulah dan  sehebat sahabat-sahabat nya.
Firman Allah S.W.T:
Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik pula (begitu pula sebaliknya). Bagi mereka ampunan dan reski yang melimpah (yaitu : Surga)
(Qs. An Nuur (24) : 26)
"Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik?"
Pada satu ketika dulu aku pernah terfikir, untunglah lelaki yang baik,kerana mereka akan memperoleh wanita yang baik. Tetapi aku tidak pernah terfikir untuk menjadi salah seorang lelaki yang beruntung itu. Lalu aku abaikan firman Allah yang suci ini dan terus leka dan lalai dalam pelukan duniawi. Kini umur hampir mencecah 22 tahun, makin hari perkara ini sering bermain di kotak minda aku. Sampai bila untuk aku jadi begini?lalai dari semua perintahNya? Timbul rasa insaf dan ingin kembali kepada fitrah kejadianku. Dari situ juga aku banyak bermonolog sendiri,
"Jika aku seorang lelaki yang jahat, adakah aku akan menerima wanita yang sama jahat sebagai isteri aku?"
"Bagaimana jika aku seorang lelaki yang baik?" 
Dari situlah bermulanya pengembaraan tranformasi untuk menjadi insan yang mulia di sisiNya. Rasa malu terhadap Allah S.W.T itu kian menebal dan seiring rasa segan untuk berhadapan wanita solehah yang memiliki tulang rusuk itu buat sekian kalinya. Semua perasaan bercampur menjadi satu. Rasa malu kepada Allah sehinggakan timbul rasa rindu kepadaNya. Baru sekarang aku dapat rasakan betapa tenangnya hidup ini jika semua perintah Allah kita lakukan dengan hati yang ikhlas dan laranganNya ditinggalkan jauh dari diri ini.
Namun sudah bersediakah aku untuk mengaku kepada wanita solehah itu yang akulah tuan milik tulang rusuk kirinya selama ini? Tepuk dada tanyalah iman. Pendek kata apa yang aku lalui sekarang hanya sekadar di lapisan atas sahaja. Banyak lagi perkara yang aku harus belajar agar wanita itu boleh menerima aku sebagai suaminya yang taat kepada Penciptanya dan kasih kepadanya sepenuh hati.
Dan sekarang,aku punya satu hasrat terhadap wanita solehah itu, ketahuilah bahawa aku sedang mempersiapkan diri untuk memilikimu sebagai teman hidup aku yang sah.

Perhiasan Dunia Terindah


Monolog sendiri. Lama termenung. Nak menulis tentang ni, lama duk termenung. Tajuk tu sahaja dah memberi kata kunci - wanita, antaranya yang sedang menulis artikel ni.Ikut seram nanti kena soal dengan apa yang aku tulis nih, alamat ramai lah kena delete blog gitu. Ramailah taknak pergi dakwah rumah ke rumah sampaikan agama. Dan ramai jugak yang duk fikir sampai 1000 kali sebelum berdakwah kepada masyarakat
DIKUMPULKAN BERSAMA MEREKA YANG KITA CINTA
Daripada Anas bin Malik, beliau mengatakan bahwa seseorang bertanya pada Nabi SAW, "Bilakah terjadi hari kiamat, wahai Rasulullah?" Baginda berkata, "Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?"Orang tersebut menjawab, "Aku tidaklah mempersiapkan untuk menghadapi hari tersebut dengan banyak shalat, banyak puasa dan banyak sedekah. Tetapi yang aku persiapkan adalah cintakan Allah dan RasulNya." Baginda berkata,
"(Kalau begitu) engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai."
(HR Bukhari no. 6171 & Muslim no. 2639)
Cinta tu of course kita kena terjemah dengan amalan la, mencontohi dan jadikan depa ni sebagai teladan.
Contoh mudah faham:
1. Cintakan Nabi SAW, para sahabat dan sahabiah, alim ulama dan orang-orang mukmin; esok-esok kat akhirat Bro kita insyaAllah akan dikumpulkan dengan depa.
2. Mencontohi sikap munafik, bohsia bohjan, fesyen-fesyen artis yang tak tutup aurat dan orang kafir; maka dalam bahasa mudahnya hangpa dah tempah tiket untuk bersama-sama mereka kat akhirat .

PARA WANITA CONTOH
Sudah tentulah depa-depa yang berada di zaman teragung di dunia ini, zaman Rasul SAW dan para sahabat. Wanita-wanita yang telah di-konfirm-kan sebagai penghuni syurga oleh Allah SWT. Makanya wanita akhir zaman jika kita dambakan syurga, jom jadi macam depa sahabiah-sahabiah zaman Nabi SAW.
Kita zaman la ni kena bina jambatan antara kita dan sahabiah zaman Nabi SAW supaya kita boleh pusing semula kaji jalan kehidupan mereka. Cuba untuk menjadi seperti mereka. Baik dari segi amalan, pakaian, dan sebagainya. Lihat sahaja Khadijah RA seorang isteri, seorang kakak, seorang ibu dan jugak a shoulder to cry on - menyokong segala usaha Nabi SAW and she was there for him. Where are we from her?
Fatimah RA, the most beloved of Nabi SAW. Penghulu wanita syurga yang kematian ibu sejak kecil. Banyak kali ditinggalkan Ali RH berbulan-bulan asbab perang, tetapi dia redha. Bahkan tak pernah mengeluh dengan kemiskinan, siap tak pernah dia tak hulurkan apa-apa pada pengemis yang datang ke rumahnya.
Ramai lagi wanita-wanita contoh zaman Nabi SAW, kalau rasa nak tahu tanya jelah Haji Google. Duhai wanita, pandanglah wanita-wanita yang dikisahkan sejarah ini. Belajarlah daripada mereka dan ikutlah jejak langkah mereka.
Kita ini jangan jadi hamba pada fesyen dan juga pada pandangan manusia. Jadilah hamba hanya pada Allah SWT. Hanya Allah. Kehambaan kita pada fesyen, hanya menunjukkan kadar intelek kita yang rendah. Agak-agak ingat lagi tak orang-orang zaman batu dulu kala pakai baju lagu mana? Lepas tu macam mana depa slow-slow design baju yang better, yang lebih menutupi. Tu semua menunjukkan peningkatan tamadun manusia. Jika kita pakai baju serupa macam zaman batu dulu atau serupa dengan manusia yang tak jumpa tamadun lagi, makanya sama sebijiklah kita dengan depa. Ye tak?
Kita ini, sepatutnya bangga yang amat. Sebab kita ini, anak-anak kepada Fatimah RA, Khadijah RA, Hajar dan Aisyah RA. Jadilah kita wanita solehah seperti mereka, jadilah kita isteri-isteri seperti mereka. Contohilah teladan terbaik. Maka bersamalah kita dengan mereka di syurga tertinggi insyaAllah!
AURATMU WANITA
Ramai je yang pakai tudung labuh tutup dada dah, pakai baju tutup penuh dah tapi sebenarnya ada sikit-sikit lagi yang boleh touch up. Ramai juga yang bukan pakai baju menutup aurat, tetapi pakai baju BALUT aurat. Macam balut nangka.
Formula dia mudah je sis;
1. Tutup semua tubuh kecuali muka dan tangan (hand tau bukan arm).
2. Tak jarang.
3. Tak ketat (maksud dia longgar la).
Maka jadilah kita orang berjaya sebab berjaya ikut peraturan yang Allah buat. Tapi if peraturan yang Allah buat ni pun fail, al makna guane gaya lah nak ikut peraturan yang manusia cipta kat bumi ni kan kan? Hatta buku yang kita sayang pun kita balut bagai, inikan pula anggota tubuh sendiri, tak sayang ke? Tak sayang ke kalau orang bukan mahram jamu mata? 

Allah jadikan kita indah, lebih indah daripada lelaki. Sampai Allah pun suruh kita tutup aurat comey-comey, hanya mahram ja boleh tengok. Ya la, Allah sayang lebih la maknanya tuh! Best je kan Allah ciptakan kita sebagai makhluk yang cantik, comey dan indah. :D
SAYA TAK KUAT NAK TUTUP AURAT
"Nanti orang pandang pelik. Lagipun rimas lah nak pakai tudung tutup dada, baju tutup segala, stokin bagai. Hisy! Nak buat camna, Allah bagi ujian hati ni tak kuat."
Lah begitu alasannya.
Boleh pengsan aku dengar alasan ala-ala gini. Silap-silap masuk ward terus immediate admit.
Para wanita yang diri ini sangat kasihi, sedarlah bahawa sebenarnya sebelum kita rasa diri kita ni tak kuat, kita dah terlebih dulu lemahkan hati-hati kita dengan kisah-kisah cinta tah-apa-apa kat TV , baca majalah gosip, tengok TV rancangan fesyen terkini, belajar make-up sana sini dan sebagainya. Ni semua lah yang makin melemahkan jiwa. Seriyesly! Kita sendiri yang pilih.
BERJAYA DUNIA AKHIRAT
Orang yang memilih akhirat, dunia satgi datang bergolek-golek kejar dia. Allah tak janjikan kesenangan dunia, tapi Allah janjikan syurga. Wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadapNya dan amat bersungguh-sungguh menjauhi laranganNya. Meskipun untuk itu diri mereka menderita.
Berbahagialah untukmu, wanita yang memilih jalanan taqwa.