Friday, 30 March 2012

Jom Jadi Baik


Sebenarnya tanpa kita sedari,kita dilahirkan dalam pelbagai kelebihan dan kekurangan. Mengapakah pencipta kita melakukan sedemikian? pasti ada hikmah!
Tujuannya adalah supaya dunia ini menjadi warna warni dan bahagia dengan kelebihan dan kekurangan manusia. Dari situlah kita belajar untuk saling memerlukan dan saling membantu bukannya bangga dengan kelebihan diri dan mendedahkan aib orang lain.nauzubillah.
Daripada Fadhallah bin Ubaid r.a,Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Berbahagialah orang yang diberi hidayat kepada Islam,manakala kehidupannya pula sentiasa mencukupi dan berpada."
(Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)
Jika dalam hati kita ada sekelumit rasa tidak puas hati atau sebarang sifat mazmumah. Ayuh,beristighfarlah! Ingatlah tujuan hidup ini.
Kita dijadikan untuk beribadah kepadaNYA.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud : "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKU "
(Surah az-Zariyat ayat 56)
Kita sebagai manusia kena sedar, bahawa kita dijadikan oleh ALAH SWT adalah sama dan yang membezakan Kita hanyalah amal. Jangan pandang kelemahan orang, jangan banding-bandingkan siapa kita dan siapa mereka. ALLAH SWT tidak memandang putih hitam kulit manusia atau tinggi pendek seseorang itu melainkan hatinya.
Daripada Abu Hurairah r.a Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi ALLAH melihat kepada hati-hati kamu."
(Riwayat Muslim)
Hati manusia ini lembut dan mudah tersentuh jika kita cuba untuk merendah-rendahkan orang lain. Apatah lagi jika kita menghina mereka kerana kita sesama islam adalah bersaudara .
Daripada Abdullah bin Umar r.a,Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Seorang muslim adalah saudara kepada seorang muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Untuk menjadi orang yang berjaya, kita hendaklah yakin dengan kemampuan diri kita. Dimana kekuatan kita. Dimana minat kita. Dimana kekurangan kita. Cuba untuk perbaiki diri dan jangan menilai orang lain. Jangan sekali-kali. Dalam diari kita, jangan kita selitkan dengan unsur-unsur negatif tetapi selitkan catatan harian kita dengan cerita-cerita yang menjerumus kita kearah bersyukur kepada Ilahi. Dan kelemahan yang terjadi pada hari itu, kita cuba kuatkan balik dan ubah sikit demi sedikit pada masa akan datang untuk menjadikan ia sebagai kekuatan bukan kelemahan.

Ingatlah, jangan sekali-kali menghina manusia lain dan memperlekehkan kebolehannya sekalipun. Bercakap seolah-olah kita tahu sifat sedalam-dalamnya dalam diri seseorang itu. Jauhkanlah perasaan dari merasa diri itu hebat kerana hanya ALLAH yang hebat dalam dunia seluruh alam semesta. Tidak ada selain DIA! jauhi penyakit hati yang besar seperti ujub,takabbur, dan riyak kerana ia bukan sikap seorang muslim yang sejati.
Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a ,Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : "Tidak masuk ke syurga orang yang terdapat dihatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur."
(Riwayat Muslim)
Kawan-kawan, jika kita dah pakai tudung labuh, kita dah merasa kita hebat, itu salah. Jika kita selalu bercakap mengenai agama, kita dah rasa kita hebat, itu juga salah. Jika kita dah pandai dan selalu dapat "A+" dalam sesuatu subjek, kita dah rasa hebat, itu juga salah. Kerana itu juga adalah ujian hati buat kita sebenarnya.
ALLAH memberi kelebihan untuk kita adalah untuk menguji kita begitu juga dengan kekurangan kita.kita akan sentiasa diuji. Letaklah ALLAH ditangga teratas dalam setiap perbuatan, percakapan mahupun tingkah laku kita. Usaha menjadi yang terbaik tapi tolong jangan memandang rendah terhadap seseorang! Jadi tidak susah untuk jadi orang baik asalkan niat kita adalah kerana ALLAH SWT.

Ingat pesan Dr Muhaya dalam Ikim.fm : "kita adalah apa yang kita fikirkan"

Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka?


Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka.
Tanpa mengambil kira keadaan mereka. Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu. 
Berbudi Baik
Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan hitam; pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.
Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.
Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya: "Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya: "Tidak, hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka selagi saya hidup". Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.
Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.
Halangan Hidayah
Bukan sedikit mereka yang seperti beliau. Jiwa mereka baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia.
Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri.
Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana 'Islam', jenama 'Islam', lambang 'Islam' sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur.
Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. 
Allah berfirman:
"Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya" (Fussilat: 46).
Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.
Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.
Bolehkah Selamat?
Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini 'Can Non-Muslims be Saved?'. Pembentangnya; Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.
Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat.
Tiada sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontraversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah; riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.

Saya rasa persoalan 'can non-muslims be saved?' bukanlah itu jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.
Selamat Dari Azab
Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan: 
"Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul" (Surah al-Israk: 15).
Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa'di dalam tafsirnya menyebut:
"Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab"
Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)
"Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (al-Nisa: 165).
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut: 
"Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul".
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
"Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain" (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza dengan zaman dahulu.
Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?

Maaf Hati, Aku Tidak Jujur Denganmu


Hati,
Kamu tahu kan yang aku betul sayang kamu?
Kamu tahu kan yang aku betul mahu menjaga kamu sebaiknya?
Kamu tahu kan segala rasa?
Hati,
Maaf ya.
Sudah berkali aku membiarkan kamu menangis.
Sendiri. Tanpa disenangi kembali.
Aku ini pentingkan diri ya?
Aku mahu mereka gembira.
Tapi aku buat kamu terseksa.
Terus-terusan diseksa.
Maaf ya.
Hati,
Aku kurang pasti.
Sama ada aku kagum
Atau aku kecewa sama kamu.
Kecewa, kerana sifatmu yang sebegitu rapuh.
Mudah sekali kamu kalah.
Kagum, kerana kamu masih mampu berfungsi dengan baik
Biarpun setelah berkali-kali kau terluka dan berdarah.
Hati,
Kamu tahu, ada waktunya aku tidak jujur denganmu.
Ada saatnya keinginanmu aku abaikan.
Ada saatnya kemahuanmu aku turutkan.
Bilamana keinginanmu aku abaikan,
bukan bereti aku tidak sayang.
Tapi kerana aku sudah terlebih sayang!
Kamu harus aku jaga baik-baik.
Kamu tahu itu, bukan?

Hati,
Usah bersedih kala rasamu tidak tertunaikan.
Ingat, siapa yang pegang kamu.
Semestinya bukan aku.
Tapi Dia, Tuhan kita yang menciptakan.
Bergantung saja pada  Dia ya?
Bukankah Dia itu sebaik-baik penjaga?
Yakin, itu kuncinya.
Hati,
Aku mahu kamu kuat.
Aku harap kamu tidak lagi rapuh.
Aku ingin kamu sentiasa segar dalam ingatan kepada-Nya.
Janji sama aku, Hati?
InsyaAllah, kita sama-sama saling menjaga, ya?
Bagaimanapun Hati, aku kagum denganmu. Sungguh. Hebat Allah yang menciptakan, bagaimana Dia bisa membuat Hati sekuat ini untuk menanggung beban yang berat amat.
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.
"Bila Hati itu Bertulang."

Wanita Berfesyen?


Semua orang dalam dunia sukakan kecantikan. Malah diri kita sendiri suka kelihatan cantik.Tambahan pula ALLAH juga menyukai sesuatu yang cantik kerana sifat ALLAH juga cantik.
Cantik? Apa makna cantik? Pada pandangan saya,cantik itu subjektif. Setiap orang lain takrifannya.
Setiap kejadian yang ALLAH jadikan semuanya cantik.
Secantik-cantik seseorang adalah akhlaknya.
Secantik-cantik agama adalah islam.
Secantik-cantik pakaian adalah taqwa.
Islam itu mudah,ringkas dan indah. Kita yang menyempitkan pemikiran kita mengenai islam.
Berfesyen itu tidak salah tapi kita yang menjadikannya sesuatu yang salah.
Islam sentiasa meletakkan garis panduan untuk umatnya dalam apa jua perkara.
Wanita sinonim dengan fesyen kerana wanita adalah sesuatu yang cantik sebenarnya.
Kalau diperhatikan, wanita ini sangat istimewa sehingga wujudnya surah An-nisa untuk wanita.Begitu kasihnya ALLAH pada kita.
Panduan berfesyen menurut Islam:
1)Menutup aurat
2)Pakaian longgar dan tidak menampakkan susuk tubuh
3)Pakaian tidak jarang dan tidak nipis
4)Melabuhkan tudung hingga menutup dada
5)Pakaian tidak menyerupai lelaki
6)Pakaian tidak menyerupai orang kafir

Muslimah itu lebih cantik jika menutup auratnya.Percayalah.Aurat bukan suatu mainan!
Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-ahzab ayat 59 yang bermaksud :
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani"
Al-quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".
Sedih apabila melihat dunia hari ini.Perempuan dengan selamba menayang benda yang tidak sepatutnya.Banyak terjadi zina.Banyak maksiat yang semakin berleluasa dan dunia hari ini seolah-olah "biasa" dengan keadaan ini.Malu lah wahai wanita!Dirimu dicipta sebaik-baik kejadian. Secantik-cantik ciptaan.

Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.
Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran islam akan mendapat keredhaan allah s.w.t dan lelaki akan memandang mereka dengan penuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat mereka yang pemalu dan bersopan santun.
Tanpa kita sedari ada banyak hikmah yang ALLAH beri jika kita betul-betul ikut cara Islam.
Kesimpulannya,wanita tidak salah berfesyen asalkan mengikut syariat Islam.

Realiti Cantik yang Tidak Berapa Cantik - Wardina


Salam pembaca semua. Adik-adik, kakak-kakak, abang-abang yang dikasihi semuanya. Yang dikasihi dan disayangi kerana Allah. Teringat kata-kata Syaikh Ourazi, jika kita mahukan kebaikan dan Jannah, maka sayangilah rakan kita kerana Allah. Sayangilah saudara seMuslim kita kerana Allah dan tidak cukup dengan itu, kita perlu 'beritahu' atau maklumkan kepada mereka bahawa kita menyayangi mereka kerana Allah.
Sangat menyentuh hati apabila tiba-tiba menerima kiriman SMS yang berbunyi "Dina atau Dear sister, I LOVE YOU LILLAH" MasyaAllah. I Love you sudah cukup power, sudah cukup membuatkan kita tersenyum dan rasa dihargai, tetapi I LOVE YOU LILLAH. "Saya sayang kamu kerana Allah", memberi satu dimensi yang sungguh berbeza sekali.
Ini bererti kita menyayangi rakan atau sahabat kita bukan kerana rupa, pangkat, harta atau kelebihan lain tetapi semata-mata kerana Allah. Tiada agenda tersembunyi yang lain. MasyaAllah hebatnya, ikhlasnya, indahnya!
Jadi untuk permulaan, sebelum kita membicarakan yang cantik-cantik, mari berhenti seketika dan kirimkan SMS atau berhenti dari membaca, hubungilah rakan kita dan ucapkanlah "Sister, I Love you Lillah, for the sake of Allah" Lihatlah kesannya. Moga persahabatan kalian kekal selamanya, bersama susah dan senang dan moga bertemu di Jannah! Amin! (Ada pengecualian ya! Sisters tolong ucapkan pada sisters sahaja, brothers pada brothers sahaja).
Baiklah, saya mahu fokuskan tulisan saya kali ini mengenai satu realiti kehidupan yang tidak berapa cantik! Setiap dari kita pernah atau masih menjadi mangsa. Saya lebih lagi, kerana menjadi mangsa dari remaja sehinggalah dewasa. Baru kini sedikit demi sedikit saya sedang menilai diri semula, berusaha menghakis apa yang ada di dalam minda saya yang sudah lama diracuni. Memohon ampun atas dosa saya membiarkan diri menjadi mangsa sekian lama. Saya akui saya telah melakukan dosa. Semoga Allah mengampuni saya! Jika melihat gambar saya yang lalu, ampunkanlah saya adik-adik semua, jangan ditiru! Itulah namanya mangsa keadaan, moga ada hikmah disebaliknya, moga ini dijadikan pengajaran buat saya dan anda semua.
Mari kita berbicara bagaimana minda kita sudah dipengaruhi dan diracuni secara TIDAK sedar atau pun separa sedar, untuk sentiasa tidak bersyukur dengan mata, badan, hidung, kulit atau pun rupa kita! Kita selalu merasa diri KURANG SEMPURNA! MasyaAllah jika kita benar-benar bahawa Allah itu Al Musawwir, Al Bari sebaik-baik pencipta - maka tidak mungkin kita mengeluh.

Mana tidaknya, tiap-tiap bulan, tiap-tiap hari kita disogok dengan gambar dan imej "kesempurnaan" yang dicedok dan berkiblatkan barat. Majalah VOGUE yang bermula dari tahun 1969 membawa fokus kepada tubuh badan wanita! Kita pun merasakan PERLU untuk ikut! Menurut (Kenrick & Guthrie) Wanita yang dikelilingi wanita-wanita cantik – di persekitaran mahupun majalah atau filem – akan merasa rendah diri dan merasa diri mereka kurang menarik.
Ya, ini termasuk lelaki kerana mereka merasakan itulah dia 'cantik', dan mengharapkan wanita mereka 'cantik' seperti yang ada dalam majalah dan TV. Tanpa sedar, kita terus membeli majalah begini, membiarkan diri merasa kurang cantik dan kurang sempurna! Saya sudah berhenti! Berhenti membeli majalah ini. Kerana saya yakin Allah menyempurnakan kejadian saya dengan sebaiknya! Beli majalah SOLUSI dan Gen-Q MasyaAllah membuatkan saya mahu lebih cantik dari dalam Alhamdulllah! Ya, apa yang kita baca dan apa yang kita lihat amatlah mempengaruhi kita.
Krim muka untuk memutihkan kulit, pusat pelangsingan badan yang meracuni minda (saya juga menjadi mangsa seketika dulu) dan alat solek yang beratus jenama dan fungsi sebenarnya merupakan satu empayar bisnes bernilai jutaan ringgit.
Empayar ini terus 'hidup' dengan membuatkan wanita merasa TIDAK cantik supaya "kami " (golongan hawa) membeli produk mereka. (Jangan dicerita bahan yang dimasukan kedalamnya, tidak pernah kita ambil peduli segala racun dan bahan tidak selamat lagi tidak halal) Dengan terus menyogok di dalam minda bahawa kita 'kurang sempurna' maka kita TERPAKSA membeli produk mereka. Strategi 'marketing' mereka menunjukan bagaimana mudahnya kita, orang Islam Melayu ditipu. Sangat mudah dipengaruhi.
Tidak berhenti bertanya kepada diri seketika. Perlukah? Selamatkah? Benarkah apa yang mereka dakwa ini? Kajian menunjukan bahawa ketika zaman kegawatan ekonomi, peningkatan jualan kosmetik semakin meningkat. Ya hakikatnya kita merasakan kita perlu segala 'tambahan kosmetik palsu' ini untuk merasa yakin! Sedih bukan?
Tahukah anda di Malaysia untuk jadi jutawan segera adalah dengan memulakan bisnes kosmetik. Cuma tukar jenama, ambil dari kilang yang sama, janji dengan bermacam janji dan lakukanlah sedikit promosi. Jutawan sekelip mata! Allah, mari kita duduk sebentar untuk berfikir adik-adik.
Bagaimana kita menilai cantik? Tak cantikkah seorang wanita yang tiada baju berjenama dan solekan diwajah namun kaya dengan ilmu, santun, adab dan akhlak?
Akhir kata, cukuplah kita berkiblatkan barat untuk menilai 'cantik' cukuplah menggunakan J.Lo dan Angelina Jolie sebagai 'rujukan' kita. Cukuplah kita tiru mata, solekan, pakaian, rambut mereka. Yakinlah dengan mengatakan Allah menciptakan saya sebagai insan cukup sempurna. Rujuk Quran surah Tin "Sesungguhnya manusia diciptakan sebaik-baik kejadian". Tak usah rasa rendah diri kalau kita tidak seperti apa yang majalah atau barat 'kata' sebagai cantik. Yakinlah dalam diri yang lebih penting ialah apabila kita cantik dengan adab, akhlak, islam, iman dan ihsan. Sesungguhnya saya juga sedang membina keyakinan ini dalam diri saya dan anak-anak. Cantik BUKAN fizikal semata.
Hiduplah dengan nama Allah Al-Jamil. Namun cantik dalam erti yang sebenar. Cantik dalam sabar dan memberi maaf itulah akhlak yang cantik. Cantik kerana mengucapkan yang benar, kerana hati penuh keikhlasan mencari kebenaran, cantik kerana ketaatan kita kepada Allah.
Sebelum berakhir kita renung satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Masood. Rasulullah SAW pernah bersabda,
"Seseorang tidak akan masuk syurga sekiranya mempunyai secubit pun perasaan sombong. Maka ada hamba Allah yang bertanya: Jika seseorang itu suka memakai pakaian dan kasut yang cantik? Rasulullah SAW menjawab "Allah itu Maha Cantik dan Allah mencintai kecantikan. Sombong itu adalah mengejek dan menolak kebenaran dan merendahkan orang lain" (Bukhari)
Bukan tak boleh cantik, cuma mari nilaikan semula definasi cantik kita selama ini. Definasi siapa yang kita pegang? Jika bertemu dengan orang lain, elakkan dari menuji kecantikan mereka dahulu. Menilai orang dengan hanya kecantikannya adalah merendahkan martabatnya. Sebagai seorang wanita, saya mahu lebih dari cuma cantik! Diri saya berharga BUKAN kerana cantik saya, tetapi ilmu, adab dan akhlak saya InsyaAllah. Mari bina keyakinan dri situ. Saya yakin kita akan lebih dihormati dan disayangi InsyaAllah oleh Allah dan manusia. Wallahu'alam
Salam Sayang,
-WARDINA-